• Masjid ANNUR Kg Beringin

    Masjid ANNUR Kg Beringin telah dibina diatas tanah seluas 1 ekar dengan harga sekitar RM40,000-00. Masjid ini mempunyai konsep dan struktur yang sama dengan Masjid Negeri Melaka iaitu Masjid Al Azim dan menelan belanja sekitar RM500,000-00.

  • Balai Raya Kg Beringin

    Balai Raya Kg Beringin yang baru telah didirikan pada sekitar tahun 2007 di dalam kawasan perkarangan masjid dengan peruntukan sebanyak RM80,000-00.

  • Bilik Gerakan JPKK

    JPKK Kg Beringin telah berjaya membina sebuah Bilik Gerakan. Sebelum ini, mesyuarat telah diadakan diruangan pentas yang juga berfungsi sebagai Bilik Mesyuarat di dalam Balai Raya Kg Beringin.

  • Dataran Wawasan

    Sempena Majlis Dialog bersama YB Ahli Parlimen Alor Gajah ketika itu,YB Datuk telah meluluskan peruntukan sebanyak RM15,000-00 bagi membina sebuah pentas serbaguna di Balai Raya Kg Beringin.

  • Anjung Niaga JPKK

    Anjung Niaga JPKK Kg Beringin dibina apabila Balai Raya lama Kg Beringin diubahsuai menjadi 5 lot kedai dan mula disewa pada tahun 2007.

  • Zon Futsal

    Zon Futsal Kg Beringin adalah merupakan satu lagi mercutanda Kg Beringin. Bermula sekitar tahun 2007 semasa lawatan YDP Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) ketika itu,beliau telah mengumumkan peruntukan seebanyak RM20,000-00 bagi membina sebuah gelanggan futsal.

MERDEKA FUN DAY PERINGKAT KG BERINGIN

 MERDEKA FUN DAY MERIAHKAN SAMBUTAN BULAN KEMERDEKAAN KG BERINGIN
6 SEPTEMBER 2026 | AHAD | 8.00 PAGI – 1.00 TENGAH HARI

Suasana sambutan Bulan Kemerdekaan di Kampung Beringin berlangsung meriah menerusi Program Merdeka Fun Day Peringkat Kampung Beringin yang diadakan di Zon Futsal Kampung Beringin. Program yang dirasmikan oleh YB ADUN Durian Tunggal ini menghimpunkan masyarakat setempat, khususnya golongan belia, kanak-kanak dan para ibu dalam pelbagai aktiviti santai, menarik dan berkonsepkan kemerdekaan.

Antara aktiviti yang diadakan ialah Pertandingan Futsal Kategori Belia dan Bawah 15 Tahun, Pertandingan Mewarna Kanak-kanak, Pertandingan Mewarna Para Ibu, Peragaan Pakaian Kemerdekaan Kanak-kanak serta Pertandingan Hias Bento.

Turut disediakan pelbagai hadiah menarik menerusi cabutan nama bertuah untuk para peserta dan pengunjung. Lebih istimewa, hadiah utama cabutan bertuah ialah sebuah mesin basuh, selain pelbagai hadiah menarik yang lain.

Kemeriahan program turut diserikan dengan kehadiran Kumpulan Bermotor DUN Durian Tunggal yang singgah sebentar sebelum meneruskan perjalanan bagi menyertai Program Karnival Anak Muda Melaka.

Program ini bukan sahaja memeriahkan bulan kemerdekaan, malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim serta memupuk semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat Kampung Beringin dan Taman Inang Sari.

Program anjuran Belia 4B Kampung Beringin dengan kerjasama JPKK Kampung Beringin, KRT Taman Inang Sari dan Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan Kampung Beringin.

Merdeka! Merdeka! Merdeka!
KAMPUNG BERINGIN
BERSAMA MEMBINA KOMUNITI SEJAHTERA
MELAKA SAYANG RAKYAT ❤️

Sila klik disini untuk Galeri penuh dilaman Facebook.



Share:

PROGRAM GOTONG ROYONG KAWASAN TUGU KG BERINGIN

9 Ogos 2026 | Ahad | 8.00 pagi

Kampung Beringin, Durian Tunggal – Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Beringin telah menganjurkan Program Gotong-Royong Kawasan Tugu Kampung Beringin pada Ahad, 9 Ogos 2026.

Program yang bermula pada jam 8.00 pagi ini melibatkan penyertaan penduduk Kampung Beringin dalam usaha menceriakan dan membersihkan kawasan sekitar tugu sebagai salah satu usaha memastikan persekitaran kampung sentiasa bersih, kemas dan menarik.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuk mencantas dahan pokok, memangkas (trim) pokok bunga hiasan, mengecat serta membersihkan kawasan sekitar tugu.

Program turut mendapat sambutan yang baik daripada penduduk kampung dan kehadiran Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) yang turut sama memberikan sokongan terhadap aktiviti kemasyarakatan yang dianjurkan.

JPKK Kg Beringin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua penduduk serta pihak yang terlibat atas kerjasama dan komitmen yang diberikan. Semangat gotong-royong seperti ini diharapkan dapat terus dipupuk bagi memperkukuhkan hubungan silaturahim serta mewujudkan persekitaran Kampung Beringin yang lebih bersih, ceria dan selesa.

“Bersama Kita Ceriakan Kampung Beringin.”

Sila klik disini untuk Galeri penuh di laman facebook.




Share:

KURSUS ASAS BELON

 Aktiviti : Kursus Asas Belon
Tarikh : 14 & 15 Julai 2026 (Selasa & Rabu)
Masa : 8.00 pg - 5.00 ptg
Tempat : Balai Raya Kg Beringin

JPKK Kg Beringin telah bekerjasama dengan KEMAS Parlimen Alor Gajah bagi menganjurkan Kursus Kemahiran Jangka Pendek (KKJP) – Kursus Asas Belon selama dua hari di Balai Raya Kampung Beringin.

Kursus yang bermula dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang ini memberi pendedahan kepada para peserta mengenai teknik asas seni belon, termasuk menghasilkan bunga belon, bouquet belon serta pelbagai kreativiti dan idea hiasan. Program ini bertujuan meningkatkan kemahiran, kreativiti dan membuka peluang kepada peserta untuk menjadikan kemahiran tersebut sebagai sumber pendapatan sampingan.

Penganjuran kursus ini diharap dapat memperkasa masyarakat melalui latihan kemahiran yang praktikal, sekali gus menggalakkan perkembangan keusahawanan dalam kalangan penduduk setempat. Semoga ilmu yang diperoleh dapat dimanfaatkan sebaiknya dan menjadi pemangkin kepada lebih ramai usahawan seni belon pada masa hadapan.

Sila klik disini untuk Galeri penuh dilaman facebook.


Share:

PROGRAM SENTUHAN PRIHATIN SIRI 3

Aktiviti : Program Sentuhan Prihatin Siri 3
Tarikh : 25 Jun 2026  Khamis
Masa : 5.00 petang
Tempat : Taman Inang Sari

Program Sentuhan Prihatin Siri 3 anjuran JPKK Kampung Beringin bersama Lembaga Masjid An Nur Kampung Beringin telah diteruskan dengan sesi ziarah prihatin ke kediaman penduduk yang sedang berdepan ujian kesihatan akibat kemalangan jalan raya.

Dalam program kali ini, rombongan yang disertai oleh Ahli Jawatankuasa JPKK Kampung Beringin dan Ahli Jawatankuasa Lembaga Masjid An Nur Kampung Beringin telah menziarahi Cik Norfarain Binti Nordin di Taman Inang Sari yang terlibat dalam kemalangan jalan raya baru-baru ini.

Sebagai tanda keprihatinan dan sokongan moral, sumbangan berupa kit makanan serta bantuan wang tunai telah disampaikan bagi meringankan sedikit beban yang ditanggung oleh keluarga beliau.

Sementara itu, lawatan ke rumah penerima kedua iaitu Encik Mokhtar Bin Din terpaksa ditangguhkan selepas beliau yang masih dalam proses pemulihan memohon agar kunjungan tersebut diadakan semula apabila keadaan kesihatannya bertambah baik.

Program Sentuhan Prihatin ini merupakan salah satu inisiatif berterusan JPKK Kampung Beringin bersama Lembaga Masjid An Nur Kampung Beringin dalam menyantuni masyarakat setempat, khususnya mereka yang memerlukan sokongan serta perhatian ketika menghadapi cabaran kehidupan.

Semoga usaha kecil ini dapat memberikan semangat dan kekuatan kepada penerima serta mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara komuniti Kampung Beringin.




Share:

MAJLIS KURBAN SEMPENA AIDILADHA TAHUN 2026

 Aktiviti  : Majlis Kurban Sempena Aidiladha Tahun 2026
Masa    : 10.00 pagi
Tempat  : Perkarangan Masjid An Nur Kg Beringin

Majlis Korban Sempena Hari Raya Aidiladha telah berlangsung dengan penuh meriah pada jam 10.00 pagi di perkarangan Masjid An Nur Kg Beringin.

Sebanyak 3 ekor lembu dan 7 ekor kambing telah disembelih bagi menunaikan ibadah korban tahun ini. Program turut mendapat kerjasama erat daripada penduduk kampung yang bergotong-royong melapah, memotong serta membungkus daging korban untuk diagihkan kepada golongan asnaf, petugas yang membantu dan penduduk setempat.

Agihan daging korban kepada penduduk bermula pada jam 3.00 petang di masjid, dengan penduduk hadir mengambil sendiri agihan masing-masing. Program ini bukan sahaja menyemarakkan sambutan Aidiladha, malah turut mengeratkan hubungan silaturahim dan semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat Kampung Beringin.

Sila klik disini untuk Galeri penuh dilaman Facebook.


Share:

PROGRAM SENTUHAN PRIHATIN SIRI 2

 Aktiviti : Program Sentuhan Prihatin Siri 2
Tarikh : 24 Mei 2026  Ahad
Masa : 5.00 ptg
Tempat : Rumah En Roslan dan En Abu Hassan
Anjuran : JPKK Kg Beringin & Lembaga Masjid An Nur Kg Beringin

Program Sentuhan Prihatin Siri 2 anjuran JPKK Kg Beringin bersama Lembaga Masjid An Nur Kg Beringin telah diadakan dengan menziarahi dua penduduk yang sedang menjalani proses pemulihan selepas menerima rawatan di hospital.

Ziarah pertama diadakan ke rumah En. Roslan di Taman Inang Sari yang baru keluar wad hospital akibat serangan strok ringan (minor stroke). Rombongan seterusnya menziarahi En. Abu Hassan di Kg Beringin yang mengalami komplikasi jantung dan sakit kaki.

Program ini bertujuan menyantuni serta memberi sokongan moral kepada penduduk yang uzur dan memerlukan perhatian masyarakat setempat. Semasa ziarah berlangsung, kedua-dua penerima turut menerima sumbangan berupa kit makanan dan wang tunai sebagai tanda keprihatinan. Program ini diharap dapat mengeratkan hubungan silaturahim dalam komuniti. Semoga kedua-duanya diberikan kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan.

Sila klik disini untuk Galeri penuh di laman Facebook.


Share:

TAKLIMAT PERKHIDMATAN KUTIPAN SAMPAH RUMAH KE RUMAH

 Aktiviti  : Taklimat Perkhidmatan Kutipan Sampah Rumah Ke Rumah di Kg Beringin
Tarikh   : 17 Mei 2026  Ahad
Masa   : 9.30 pagi
Tempat : Balai Raya Kg Beringin

Satu Taklimat Perkhidmatan Kutipan Sampah Rumah ke Rumah telah diadakan pada hari Ahad, jam 9.30 pagi bertempat di Balai Raya Kg Beringin hasil kerjasama Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dan SWCorp.

Program tersebut telah dihadiri oleh YB ADUN Durian Tunggal, YDP MPAG, pegawai-pegawai SWCorp serta Pengerusi JPKK Kg Beringin bersama penduduk setempat.

Taklimat ini diadakan bagi memberi penerangan kepada penduduk mengenai cadangan pelaksanaan perkhidmatan kutipan sampah rumah ke rumah demi memastikan kebersihan dan kesejahteraan kampung sentiasa terpelihara.

Dalam ucapan yang disampaikan, pihak penganjur menegaskan bahawa perkhidmatan kutipan sampah di kawasan kampung amat penting bagi mengelakkan longgokan sampah yang boleh mengundang kehadiran haiwan liar, menyebabkan wabak denggi serta menimbulkan bau busuk yang menjejaskan keselesaan penduduk.

Penduduk yang hadir turut memberikan maklum balas positif dan berharap perkhidmatan ini dapat dilaksanakan dengan lancar demi mewujudkan persekitaran kampung yang lebih bersih, selamat dan harmoni.

Sila klik disini untuk Galeri penuh dilaman Facebook.


Share:

JAMUAN AIDILFITRI KOMUNITI KG BERINGIN DAN TAMAN INANG SARI

 Aktiviti  : Jamuan Aidilfitri Komuniti Kg Beringin & Taman Inang Sari
Tarikh  : 19 April 2026  Ahad
Masa   : 9.00 pg - 12.00 tgh
Tempat : Balai Raya Kg Beringin

Majlis Jamuan Aidilfitri Komuniti Kg Beringin dan Taman Inang Sari telah berlangsung dengan meriah pada hari ini bermula jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari bertempat di Balai Raya Kg Beringin.

Majlis anjuran bersama JPKK Kg Beringin, Lembaga Masjid An Nur Kg Beringin, KRT Taman Inang Sari dan Belia 4B Kg Beringin ini dimulakan dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Hj Ahmad bin Bachik, Imam 1 Masjid An Nur Kg Beringin. Suasana kemudiannya diteruskan dengan jamuan Aidilfitri yang menghimpunkan penduduk setempat dalam suasana penuh muhibah.

Antara pengisian utama majlis adalah penyampaian sumbangan duit raya kepada kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah yang disampaikan oleh pihak JPKK bersama YB ADUN Durian Tunggal yang juga Ketua UMNO Cawangan Kg Beringin.

Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran warga Kg Beringin dan Taman Inang Sari, serta Pengerusi-Pengerusi JPKK dan Ketua-Ketua UMNO dalam kawasan DUN Durian Tunggal.

Pelbagai juadah menarik disediakan di kiosk makanan antaranya ketupat, rendang ayam, sambal, satay, mee goreng, laksa, cekodok, nasi lemak, ais krim dan cendol yang menambahkan lagi kemeriahan suasana.

Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyumbang juadah serta menjayakan majlis ini dengan penuh semangat kebersamaan.

Sika klik disini untuk Galeri penuh di laman Facebook.



Share:

PROGRAM JOM KACAU DODOL TAHUN 2026

Tarikh   : 8.3.2026  Ahad
Masa    : bermula jam 9.00 pagi
Tempat : Laman Futsal Kg Beringin
 
Program Jom Kacau Dodol Kg Beringin Tahun 2026 telah berlangsung dengan meriah pada Ahad, 8 Mac 2026 bermula seawal 9.00 pagi di Laman Futsal Kg Beringin. Program ini dianjurkan secara bersama oleh JPKK Kg Beringin, Lembaga Masjid An-Nur Kg Beringin, KRT Taman Inang Sari dan Gerakan Belia 4B Kg Beringin.

Aktiviti utama iaitu mengacau dodol bermula sekitar jam 10.00 pagi setelah selesai penyediaan bahan-bahan. Penduduk Kg Beringin dan Taman Inang Sari turut sama mengambil bahagian secara bergilir-gilir dalam aktiviti tersebut yang berlangsung hampir lapan jam, sekali gus mengeratkan lagi hubungan silaturahim dan semangat gotong-royong dalam kalangan masyarakat setempat.

Pada jam 5.30 petang, telah diadakan Majlis Penyampaian Sumbangan kepada warga emas Kg Beringin berusia 70 tahun ke atas yang disempurnakan oleh YB ADUN Durian Tunggal. Para penerima telah menerima sumbangan wang tunai serta cenderahati barangan sebagai tanda penghargaan kepada golongan warga emas di Kg Beringin. Sebelum itu, pihak UTeM turut mengambil kesempatan melalui program ini untuk menyampaikan taklimat mengenai Kempen Amaran dan Ramalan Informasi Banjir (KARIB) kepada penduduk setempat.

Program diteruskan dengan aktiviti hiasan pelita raya di sekitar Tugu Kg Beringin, diikuti dengan jamuan berbuka puasa bersama penduduk. Program diakhiri dengan aktiviti pembungkusan dodol sekitar jam 9.00 malam untuk diedarkan kepada penduduk Kg Beringin dan Taman Inang Sari.

Pihak JPKK Kg Beringin turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh penduduk Kg Beringin dan Taman Inang Sari. Semoga program seperti ini terus menjadi platform memperkukuh perpaduan dan semangat kebersamaan dalam komuniti setempat

Sila klik disini untuk Galeri penuh di laman Facebook.





Share:

TAQARUB RAMADHAN TAHUN 2026

Tarikh : 6.3.2026  Jumaat
Masa  : selepas solat Terawih
Tempat : Masjid An-Nur Kg Beringin 

Lembaga Masjid An-Nur Kg Beringin dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Melaka telah menganjurkan Program Taqarub Ramadhan yang berlangsung di Masjid An-Nur Kg Beringin selepas selesai solat terawih.

Program tersebut diisi dengan ceramah ringkas yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Idzwan bin Suludin yang menyentuh mengenai kelebihan membaca Al-Quran, khususnya pada bulan Ramadhan. Dalam ceramahnya, beliau menjelaskan bahawa membaca Al-Quran merupakan amalan yang sangat dituntut kerana setiap huruf yang dibaca akan digandakan pahala, malah pada bulan Ramadhan ganjarannya menjadi lebih besar kerana bulan ini merupakan bulan turunnya Al-Quran. Selain itu, amalan membaca Al-Quran juga dapat menenangkan hati, mendekatkan diri kepada Allah serta menjadi syafaat kepada pembacanya di akhirat kelak.

Program tersebut turut dihadiri oleh YB ADUN Durian Tunggal bersama para jemaah dan penduduk setempat yang hadir bagi mengimarahkan suasana Ramadhan di masjid. Majlis kemudiannya diakhiri dengan jamuan ringan sebagai tanda ukhwah dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat kampung.

Sila klik disini untuk Galeri penuh dilaman Facebook.




Share:

GOTONG ROYONG TANAH WAKAF KG BERINGIN

 Tarikh   : 18.2.2026  Rabu
 Masa   : 9.00 pagi
Tempat : Tanah Wakaf Kg Beringin 

Program Gotong-Royong Tanah Wakaf Kg Beringin anjuran Lembaga Masjid An-Nur Kg Beringin telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya pada hari ini selepas ditunda sehari daripada tarikh asal 17 Februari 2026 berikutan keadaan hujan lebat.

Program yang melibatkan penyertaan penduduk kampung ini bertujuan menceriakan kawasan tanah wakaf serta memastikan persekitarannya sentiasa bersih dan terpelihara. Antara aktiviti yang dijalankan ialah kerja-kerja mengecat pintu pagar, tembok dan batu nisan lama bagi memperbaiki keadaan kemudahan sedia ada. Selain itu, peserta turut menjalankan kerja pembersihan kawasan sekitar dengan mencantas pokok-pokok serta membersihkan semak samun yang terdapat di kawasan tanah wakaf tersebut.

Semangat kerjasama dan gotong-royong yang ditunjukkan oleh para peserta mencerminkan keprihatinan masyarakat terhadap kepentingan menjaga kawasan tanah wakaf sebagai tempat yang dihormati serta kemudahan untuk kegunaan bersama.

Sila klik disini untuk Galeri penuh di laman Facebook.



Share:

GOTONG-ROYONG SAMBUT RAMADHAN ERATKAN SEMANGAT WARGA KG BERINGIN

Tarikh  : 17.2.2026  Selasa
 Masa  : 9.00 pagi - 12.00 tgh
Tempat : Masjid An-Nur Kg Beringin 
 
Penduduk Kampung Beringin telah bersama-sama menjayakan aktiviti gotong-royong sempena menyambut kedatangan bulan Ramadhan yang bakal tiba tidak lama lagi. Program yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari itu bertujuan memastikan kawasan kemudahan awam berada dalam keadaan bersih, selesa dan kondusif untuk kegunaan masyarakat sepanjang bulan ibadah nanti.

Antara kerja-kerja yang dilaksanakan termasuk membersihkan kipas, cermin tingkap, siling, kawasan dewan, kaki lima serta tempat mengambil wuduk. Semangat kerjasama yang ditunjukkan oleh para peserta jelas menggambarkan sikap prihatin dan tanggungjawab bersama dalam menjaga kebersihan serta keselesaan persekitaran kampung.

Program tersebut turut diserikan dengan kehadiran YB ADUN Durian Tunggal yang meluangkan masa bersama penduduk serta menyatakan penghargaan atas komitmen komuniti dalam menjayakan aktiviti gotong-royong berkenaan.

Adalah diharapkan aktiviti seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memperkukuh hubungan silaturahim serta memupuk budaya bekerjasama dalam kalangan masyarakat setempat, khususnya dalam usaha mengimarahkan bulan Ramadhan.

Sila klik disini untuk Galeri penuh dilaman Facebook. 







 

Share:

PROGRAM SENTUHAN PRIHATIN SIRI 1/2026

Tarikh  : 15.2.2026  Ahad
Masa  : 5.30 ptg
Tempat : Rumah Penerima Sumbangan 

Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kg Beringin bersama Lembaga Masjid An-Nur Kg Beringin telah melaksanakan Program Sentuhan Prihatin Siri 1 Tahun 2026 sebagai usaha menyantuni penduduk kampung yang memerlukan bantuan serta sokongan moral.

Dalam program tersebut, wakil jawatankuasa telah menziarahi tiga orang penduduk iaitu En. Othman bin Ibrahim yang terlibat dalam kemalangan jalan raya, En. Johari yang sedang menghadapi masalah kesihatan serta Pn. Rahmah, seorang warga emas yang telah kehilangan suami tercinta.

Sebagai tanda keprihatinan dan sokongan moral, setiap penerima telah mendapat sumbangan berupa kit makanan keperluan harian serta bantuan wang tunai. Program ziarah ini turut memberi ruang kepada pihak jawatankuasa untuk bertanya khabar serta memberikan kata-kata semangat kepada penerima dan ahli keluarga.

Program Sentuhan Prihatin ini akan diteruskan pada masa akan datang sebagai salah satu inisiatif kebajikan masyarakat serta mengukuhkan semangat kebersamaan dan nilai prihatin dalam kalangan penduduk Kg Beringin



 

Share:

KENDURI TAHLIL ARWAH BERKELOMPOK TAHUN 2026

Tarikh   : 14.2.2026  Sabtu
Masa  : selepas solat Maghrib
Tempat :Masjid An-Nur Kg Beringin
 
 Majlis Kenduri Tahlil Arwah Berkelompok anjuran Lembaga Masjid An Nur Kampung Beringin telah berjaya dilaksanakan bersempena menyambut kedatangan bulan Ramadhan yang bakal tiba tidak lama lagi. Program tahunan ini bertujuan mendoakan kesejahteraan  para arwah ahli keluarga penduduk kampung serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat.

Program dimulakan dengan solat Maghrib secara berjemaah di masjid, diikuti dengan bacaan tahlil arwah yang dipimpin oleh pegawai syarak. Sebanyak 522 nama arwah telah dibacakan dalam majlis tersebut. Seterusnya, para jemaah menunaikan solat Isyak secara berjemaah sebelum majlis diakhiri dengan jamuan makan bersama.

Majlis ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada penduduk kampung dan kariah sekitar. Selain penyertaan yang ramai, terdapat juga sumbangan 2 ekor kambing untuk tujuan aqiqah bagi menjayakan program tersebut.

Secara keseluruhannya, penganjuran majlis ini berjalan dengan lancar dan teratur hasil kerjasama semua pihak termasuk jawatankuasa masjid serta penduduk setempat. Program seperti ini diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai salah satu usaha memperkukuhkan ukhuwah serta memupuk semangat kebersamaan dalam komuniti. Majlis ini turut dihadiri oleh YB Datuk Zahari bin Abd Kalil, ADUN Kawasan Durian Tunggal.

Sila klik disini untuk Galeri penuh di laman facebook.


Share:

TAKWIM AKTIVITI TAHUN 2026

 

Share:

MAKLUMAN



UCAPAN PENGERUSI JPKK

LOGO DAN MOTTO

LAGU KG BERINGIN

TIK TOK YB ADUN DURIAN TUNGGAL