Pada awal tahun 70an kerajaan telah membina sebatang jambatan dan jalanraya yang menghubungkan Kg Tebing Tinggi dengan Kg Pantai Belimbing. Disebabkan adanya kemudahan itu maka dari semasa kesemasa nama Tebing Tinggi sudah mula pudar dikalangan penduduk. Maka kampung ini dikenali dengan satu nama iaitu Kg Beringin.
Dahulu, didalam kampung ini mempunyai 4 solok iaitu Solok Beliau, Solok Noresah, Solok Duku dan Solok Panchur. Pada ketika itu, Solok Duku dan Solok Panchur terdiri dari satu mukim atau satu kariah. Namun pada tahun 1975 telah berlaku pemisahan kariah apabila penduduk Solok Duku dan Solok Panchur telah mendirikan sebuah masjid. Maka tinggallah Kg Beringin dengan kariahnya yang terdiri dari Solok Beliau dan Solok Noresah.
Pendapatan penduduk kampung pada masa dahulu adalah melalui hasil bercucuk tanam, menoreh getah dan menternak haiwan. Keluasan sawah padi di Kg Beringin pada masa dahulu ialah 55 ekar dan tanah rezab 5 ekar. Sehingga kehari ini, tanaman masih lagi diusahakan oleh penduduk kampung dengan tanaman padi 4 bulan dan secara komersial. Manakala kebanyakan penduduk kampung hari ini pula bekerja sebagai kakitangan kerajaan, perindustrian, pertanian dan sebagainya.