• Masjid ANNUR Kg Beringin

    Masjid ANNUR Kg Beringin telah dibina diatas tanah seluas 1 ekar dengan harga sekitar RM40,000-00. Masjid ini mempunyai konsep dan struktur yang sama dengan Masjid Negeri Melaka iaitu Masjid Al Azim dan menelan belanja sekitar RM500,000-00.

  • Balai Raya Kg Beringin

    Balai Raya Kg Beringin yang baru telah didirikan pada sekitar tahun 2007 di dalam kawasan perkarangan masjid dengan peruntukan sebanyak RM80,000-00.

  • Bilik Gerakan JPKK

    JPKK Kg Beringin telah berjaya membina sebuah Bilik Gerakan. Sebelum ini, mesyuarat telah diadakan diruangan pentas yang juga berfungsi sebagai Bilik Mesyuarat di dalam Balai Raya Kg Beringin.

  • Dataran Wawasan

    Sempena Majlis Dialog bersama YB Ahli Parlimen Alor Gajah ketika itu,YB Datuk telah meluluskan peruntukan sebanyak RM15,000-00 bagi membina sebuah pentas serbaguna di Balai Raya Kg Beringin.

  • Anjung Niaga JPKK

    Anjung Niaga JPKK Kg Beringin dibina apabila Balai Raya lama Kg Beringin diubahsuai menjadi 5 lot kedai dan mula disewa pada tahun 2007.

  • Zon Futsal

    Zon Futsal Kg Beringin adalah merupakan satu lagi mercutanda Kg Beringin. Bermula sekitar tahun 2007 semasa lawatan YDP Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) ketika itu,beliau telah mengumumkan peruntukan seebanyak RM20,000-00 bagi membina sebuah gelanggan futsal.

PROGRAM JOM KACAU DODOL TAHUN 2026

Tarikh   : 8.3.2026  Ahad
Masa    : bermula jam 9.00 pagi
Tempat : Laman Futsal Kg Beringin
 
Program Jom Kacau Dodol Kg Beringin Tahun 2026 telah berlangsung dengan meriah pada Ahad, 8 Mac 2026 bermula seawal 9.00 pagi di Laman Futsal Kg Beringin. Program ini dianjurkan secara bersama oleh JPKK Kg Beringin, Lembaga Masjid An-Nur Kg Beringin, KRT Taman Inang Sari dan Gerakan Belia 4B Kg Beringin.

Aktiviti utama iaitu mengacau dodol bermula sekitar jam 10.00 pagi setelah selesai penyediaan bahan-bahan. Penduduk Kg Beringin dan Taman Inang Sari turut sama mengambil bahagian secara bergilir-gilir dalam aktiviti tersebut yang berlangsung hampir lapan jam, sekali gus mengeratkan lagi hubungan silaturahim dan semangat gotong-royong dalam kalangan masyarakat setempat.

Pada jam 5.30 petang, telah diadakan Majlis Penyampaian Sumbangan kepada warga emas Kg Beringin berusia 70 tahun ke atas yang disempurnakan oleh YB ADUN Durian Tunggal. Para penerima telah menerima sumbangan wang tunai serta cenderahati barangan sebagai tanda penghargaan kepada golongan warga emas di Kg Beringin. Sebelum itu, pihak UTeM turut mengambil kesempatan melalui program ini untuk menyampaikan taklimat mengenai Kempen Amaran dan Ramalan Informasi Banjir (KARIB) kepada penduduk setempat.

Program diteruskan dengan aktiviti hiasan pelita raya di sekitar Tugu Kg Beringin, diikuti dengan jamuan berbuka puasa bersama penduduk. Program diakhiri dengan aktiviti pembungkusan dodol sekitar jam 9.00 malam untuk diedarkan kepada penduduk Kg Beringin dan Taman Inang Sari.

Pihak JPKK Kg Beringin turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh penduduk Kg Beringin dan Taman Inang Sari. Semoga program seperti ini terus menjadi platform memperkukuh perpaduan dan semangat kebersamaan dalam komuniti setempat

Sila klik disini untuk Galeri penuh di laman Facebook.





Share:

TAQARUB RAMADHAN TAHUN 2026

Tarikh : 6.3.2026  Jumaat
Masa  : selepas solat Terawih
Tempat : Masjid An-Nur Kg Beringin 

Lembaga Masjid An-Nur Kg Beringin dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Melaka telah menganjurkan Program Taqarub Ramadhan yang berlangsung di Masjid An-Nur Kg Beringin selepas selesai solat terawih.

Program tersebut diisi dengan ceramah ringkas yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Idzwan bin Suludin yang menyentuh mengenai kelebihan membaca Al-Quran, khususnya pada bulan Ramadhan. Dalam ceramahnya, beliau menjelaskan bahawa membaca Al-Quran merupakan amalan yang sangat dituntut kerana setiap huruf yang dibaca akan digandakan pahala, malah pada bulan Ramadhan ganjarannya menjadi lebih besar kerana bulan ini merupakan bulan turunnya Al-Quran. Selain itu, amalan membaca Al-Quran juga dapat menenangkan hati, mendekatkan diri kepada Allah serta menjadi syafaat kepada pembacanya di akhirat kelak.

Program tersebut turut dihadiri oleh YB ADUN Durian Tunggal bersama para jemaah dan penduduk setempat yang hadir bagi mengimarahkan suasana Ramadhan di masjid. Majlis kemudiannya diakhiri dengan jamuan ringan sebagai tanda ukhwah dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat kampung.

Sila klik disini untuk Galeri penuh dilaman Facebook.




Share:

GOTONG ROYONG TANAH WAKAF KG BERINGIN

 Tarikh   : 18.2.2026  Rabu
 Masa   : 9.00 pagi
Tempat : Tanah Wakaf Kg Beringin 

Program Gotong-Royong Tanah Wakaf Kg Beringin anjuran Lembaga Masjid An-Nur Kg Beringin telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya pada hari ini selepas ditunda sehari daripada tarikh asal 17 Februari 2026 berikutan keadaan hujan lebat.

Program yang melibatkan penyertaan penduduk kampung ini bertujuan menceriakan kawasan tanah wakaf serta memastikan persekitarannya sentiasa bersih dan terpelihara. Antara aktiviti yang dijalankan ialah kerja-kerja mengecat pintu pagar, tembok dan batu nisan lama bagi memperbaiki keadaan kemudahan sedia ada. Selain itu, peserta turut menjalankan kerja pembersihan kawasan sekitar dengan mencantas pokok-pokok serta membersihkan semak samun yang terdapat di kawasan tanah wakaf tersebut.

Semangat kerjasama dan gotong-royong yang ditunjukkan oleh para peserta mencerminkan keprihatinan masyarakat terhadap kepentingan menjaga kawasan tanah wakaf sebagai tempat yang dihormati serta kemudahan untuk kegunaan bersama.

Sila klik disini untuk Galeri penuh di laman Facebook.



Share:

GOTONG-ROYONG SAMBUT RAMADHAN ERATKAN SEMANGAT WARGA KG BERINGIN

Tarikh  : 17.2.2026  Selasa
 Masa  : 9.00 pagi - 12.00 tgh
Tempat : Masjid An-Nur Kg Beringin 
 
Penduduk Kampung Beringin telah bersama-sama menjayakan aktiviti gotong-royong sempena menyambut kedatangan bulan Ramadhan yang bakal tiba tidak lama lagi. Program yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari itu bertujuan memastikan kawasan kemudahan awam berada dalam keadaan bersih, selesa dan kondusif untuk kegunaan masyarakat sepanjang bulan ibadah nanti.

Antara kerja-kerja yang dilaksanakan termasuk membersihkan kipas, cermin tingkap, siling, kawasan dewan, kaki lima serta tempat mengambil wuduk. Semangat kerjasama yang ditunjukkan oleh para peserta jelas menggambarkan sikap prihatin dan tanggungjawab bersama dalam menjaga kebersihan serta keselesaan persekitaran kampung.

Program tersebut turut diserikan dengan kehadiran YB ADUN Durian Tunggal yang meluangkan masa bersama penduduk serta menyatakan penghargaan atas komitmen komuniti dalam menjayakan aktiviti gotong-royong berkenaan.

Adalah diharapkan aktiviti seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memperkukuh hubungan silaturahim serta memupuk budaya bekerjasama dalam kalangan masyarakat setempat, khususnya dalam usaha mengimarahkan bulan Ramadhan.

Sila klik disini untuk Galeri penuh dilaman Facebook. 







 

Share:

PROGRAM SENTUHAN PRIHATIN SIRI 1/2026

Tarikh  : 15.2.2026  Ahad
Masa  : 5.30 ptg
Tempat : Rumah Penerima Sumbangan 

Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kg Beringin bersama Lembaga Masjid An-Nur Kg Beringin telah melaksanakan Program Sentuhan Prihatin Siri 1 Tahun 2026 sebagai usaha menyantuni penduduk kampung yang memerlukan bantuan serta sokongan moral.

Dalam program tersebut, wakil jawatankuasa telah menziarahi tiga orang penduduk iaitu En. Othman bin Ibrahim yang terlibat dalam kemalangan jalan raya, En. Johari yang sedang menghadapi masalah kesihatan serta Pn. Rahmah, seorang warga emas yang telah kehilangan suami tercinta.

Sebagai tanda keprihatinan dan sokongan moral, setiap penerima telah mendapat sumbangan berupa kit makanan keperluan harian serta bantuan wang tunai. Program ziarah ini turut memberi ruang kepada pihak jawatankuasa untuk bertanya khabar serta memberikan kata-kata semangat kepada penerima dan ahli keluarga.

Program Sentuhan Prihatin ini akan diteruskan pada masa akan datang sebagai salah satu inisiatif kebajikan masyarakat serta mengukuhkan semangat kebersamaan dan nilai prihatin dalam kalangan penduduk Kg Beringin



 

Share:

KENDURI TAHLIL ARWAH BERKELOMPOK TAHUN 2026

Tarikh   : 14.2.2026  Sabtu
Masa  : selepas solat Maghrib
Tempat :Masjid An-Nur Kg Beringin
 
 Majlis Kenduri Tahlil Arwah Berkelompok anjuran Lembaga Masjid An Nur Kampung Beringin telah berjaya dilaksanakan bersempena menyambut kedatangan bulan Ramadhan yang bakal tiba tidak lama lagi. Program tahunan ini bertujuan mendoakan kesejahteraan  para arwah ahli keluarga penduduk kampung serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat.

Program dimulakan dengan solat Maghrib secara berjemaah di masjid, diikuti dengan bacaan tahlil arwah yang dipimpin oleh pegawai syarak. Sebanyak 522 nama arwah telah dibacakan dalam majlis tersebut. Seterusnya, para jemaah menunaikan solat Isyak secara berjemaah sebelum majlis diakhiri dengan jamuan makan bersama.

Majlis ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada penduduk kampung dan kariah sekitar. Selain penyertaan yang ramai, terdapat juga sumbangan 2 ekor kambing untuk tujuan aqiqah bagi menjayakan program tersebut.

Secara keseluruhannya, penganjuran majlis ini berjalan dengan lancar dan teratur hasil kerjasama semua pihak termasuk jawatankuasa masjid serta penduduk setempat. Program seperti ini diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai salah satu usaha memperkukuhkan ukhuwah serta memupuk semangat kebersamaan dalam komuniti. Majlis ini turut dihadiri oleh YB Datuk Zahari bin Abd Kalil, ADUN Kawasan Durian Tunggal.

Sila klik disini untuk Galeri penuh di laman facebook.


Share:

TAKWIM AKTIVITI TAHUN 2026

 

Share:

MAKLUMAN

UCAPAN AIDILFITRI 2026

MAKLUMAN AKTIVITI

MAKLUMAN AKTIVITI


UCAPAN PENGERUSI JPKK

LOGO DAN MOTTO

LAGU KG BERINGIN